HomeNews & HighlightsNews Archive
 
   
Pelancaran Variasi Terbaru Motosikal Modenas
11/8/2008
 
Majlis pelancaran variasi terbaru motosikal Modenas di Shah Alam, Selangor, yang disempurnakan oleh Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom, Datuk Mohd Khamil Jamil. Hadir sama, Pengerusi Modenas, Datuk Syed Mohamad Aidid Syed Murtaza.
 
 

MOTOSIKAL dan Enjin Nasional (Modenas) yakin permintaan tinggi terhadap motosikal berikutan penstrukturan semula subsidi minyak akan melonjakkan jualan keseluruhan industri berkenaan kepada 500,000 unit sehingga hujung tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Abdul Harith Abdullah, berkata penstrukturan yang diumumkan baru-baru ini menyaksikan perubahan gaya hidup rakyat yang menjadikan motosikal sebagai alternatif untuk kegunaan harian kerana ia lebih menjimatkan.

Beliau berkata, tahun lalu jumlah jualan keseluruhan industri motosikal di negara ini ialah 486,000 unit dan dijangka terus meningkat sehingga hujung tahun ini.

“Harga minyak memberi kesan cukup besar kepada pengguna dan pengguna kini sudah mengubah gaya hidup dengan menjadikan motosikal sebagai alternatif.

“Perkembangan ini dijangka membantu melonjakkan prestasi pelbagai model motosikal keluaran Modenas dan kami yakin mampu mengukuhkan pasaran motosikal secara keseluruhan di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbarnya selepas majlis pelancaran dua variasi motosikal terbaru Modenas di Shah Alam, Selangor, semalam.

Majlis pelancaran itu disempurnakan Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom, Datuk Mohd Khamil Jamil. Hadir sama, Pengerusi Modenas, Datuk Syed Mohamad Aidid Syed Murtaza.

Menurutnya, bagi tahun kewangan 2008/2009, syarikat motosikal nasional itu mensasarkan jualan 85,000 unit pelbagai model motosikal dengan 75,000 unit untuk pasaran tempatan dan 10,000 unit lagi bagi pasaran luar negara.

Abdul Harith berkata, model baru yang diperkenalkan ialah Skuter Passion 125 Sports dan Kriss 120 yang dipertingkatkan untuk memberi keselesaan, gaya serta prestasi kepada peminatnya.

“Dengan pelancaran variasi baru ini, Modenas yakin dapat memperbaiki penguasaan pasaran ke tahap 15 peratus hingga akhir tahun ini.

“Peningkatan ini berdasarkan pengeluaran kepada 8,000 unit sebulan bermula Ogos ini dan seterusnya mengatasi sasaran awal kami untuk pasaran tempatan sebelum ini,” katanya.

Versi Passion 125 Sports yang terbaru tampil dengan reka bentuk lebih menarik termasuk warna dan corak grafik menawan.

Ciri utama lain adalah penggunaan tayar lebih lebar untuk tambahan ciri keselamatan, panel meter dengan corak grafik baru, reka bentuk lampu depan menarik, kotak penyimpanan mini untuk telefon bimbit dan dwiwarna yang disesuaikan dengan jiwa remaja.

Sementara itu, model Kriss 120 pula menampilkan sistem penggera tendang baru yang lebih ringan dan mudah digunakan penunggang wanita dan veteran.

Model berkenaan turut dilengkapi pilihan warna grafik baru dan menyerupai Kriss 120 Sports.

Skuter Passion 125 yang dijual pada harga RM4,302, Kriss 120 (E) (RM3,838) dan Kriss 120 (R) (RM4,199).

Oleh Noor Azam Abd Aziz
azam@hmetro.com.my
 
 

Other Latest News

more news...
 
› Latest News
› News Archive
Promotions
Motorsport News
  Copyright © 2005 Motosikal Dan Enjin Nasional Sdn. Bhd. :: Disclaimer :: Privacy Statement